BOOK REVIEW BY AHMAD SALLEH BIN HJ AHMAD ON PRAYERS FOR AISHA LULU
BIODATA AHMAD SALLEH BIN H. AHMAD @ asha
Ahmad Salleh bin H. Ahmad @Asha dilahirkan pada tahun 1957 di Perak, Malaysia. Lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1986 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan pada tahun 1989. Berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, dari 1993 sehingga persaraan wajib pada tahun 2015. Pada masa ini, beliau yang aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Perak (Karyawan Pk) diberi tanggungjawab menganjurkan aktiviti seperti bacaan puisi, konsert dan teater. Seorang penulis aktif dalam esei, buku politik, agama, pendidikan, puisi, dan novel. Banyak puisi beliau diterbitkan bersama dalam antologi bersama dengan penyair lain, dan dalam majalah dan akhbar di Malaysia.
REVIU ANTOLOGI DOA UNTUK AISHA LULU
Aisha Lulu merupakan salah seorang contoh mangsa akibat kezaliman, kerakusan dan ketidakadilan manusia. Memang amat sesuai dan tepat sekali bagi Siti Ruqaiyah Hashim, memilih sajaknya yang berjudul “Doa Untuk Aisha Lulu” sebagai tajuk kepada antologi puisi keamanan yang diusahakannya ini. Antologi ini memuatkan sebanyak 48 kuntum puisi keamanan yang disumbangkan oleh seramai 24 orang penyair terkenal dunia, termasuk Siti Ruqaiyah Hashim sendiri.
Bila menyebut tentang keamanan dan keadilan sosial, rata-rata isu ini berlaku di serata pelusuk dunia. Namun isu kezaliman dan ketidakadilan sosial ini, sejak sekian lama berpusat di bumi Palestin, iaitu merupakan satu bumi Tuhan yang menjadi rebutan dan dianggap suci oleh tiga agama terbesar yang dianuti manusia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Sekali lagi saya menegaskan bahawa memang tajuk yang dipilih oleh Siti Ruqaiyah Hashim bagi antologi ini, amat tepat dan susah untuk dipertikaikan, kerana beliau telah mengambil contoh tulin dari bumi yang diperkatakan bertepatan dengan antologi ini didedikasi untuk Palestin.
Pujangga tersohor Inggeris, William Shakespeare pernah berkata bahawa “Dunia adalah pentas dan manusia adalah pelakonnya” berkisar daripada kata-kata pujangga tersohor tersebut boleh kita anggap bahawa, Aisha Lulu merupakan anak syurga yang diutus Tuhan Pencipta Alam untuk menguji manusia yang diutus sebagai khalifah di bumi untuk mengenal pasti siapa sebenarnya khalifah tulin itu? Persoalan inilah yang diperkatakan oleh Siti Ruqaiyah Hashim dalam sajaknya “Doa Untuk Aisha Lulu”. Cuba kita teliti bait-bait berikut:
... Itulah sekelumit kemanusiaan terakhir
Yang terpamer untuk Aisha Lulu
Si yatim piatu dari Gaza
Dan Aisha Lulu pergi
Dengan air mata
Hingga ke akhir hayatnya
Aduhai! Dimanakah kemanusiaan?
Apa itu kemanusiaan?
Bagi umat pilihan?
Dalam morforlogi bahasa Malayu, sesuatu perkataan bila diulang dua kali, perkataan tersebut akan memberikan dua makna; pertama bermaksud jamak atau banyak iaitu lebih daripada satu dan yang kedua bermaksud seperti atau berlagak macam, contohnya seperti lagit menjadi langit-langit, kuda menjadi kuda-kuda, dan tupai menjadi tupai-tupai.
Memahami definisi di atas akan memudahkan lagi pembaca untuk memahami apa yang diperkatakan Siti Ruqaiyah Hashim dalam sajaknya yang kedua iaitu “Percaturan Berseni Tuhan-Tuhan”. Mencatur alam bukanlah kerja makhluk atau manusia tetapi adalah kerja Tuhan Yang Maha Kuasa, tetapi ada manusia yang mendapat sedikit kuasa telah berlagak lebih daripada Tuhan Pencipta Alam yang sebenar. Pemilihan kata “tuhan-tuhan” merupakan kebijaksanaan penulis memilih perkataan yang tepat lagi sinis terhadap isu keamanan dan keadilan yang diperkatakan. Ini dapat dilihat dalam bait-bait berikut:
Tapi padang permainan telah berubah
Tuhan-tuhan telah memasuki gelanggang
Dengan percaturan eksotik maha berseni
Dan kita pun cukup tahu
Peraturan seterusnya
Semua bidak akan dikorbankan!
Tak ubah seperti kata seorang teman
Bahawa kaki orang Palestin
Adalah kayu pemasak syurga!
Ah! Kita adalah bidak pilihan
Bukan sembarangan
Berbahagialah dengannya…..
Siti Ruqaiyah Hashim melalui antologi keamanan kali ini juga, telah memberikan setinggi penghargaan dan menulis epilog khas untuk Allahyarham Mahmoud Darwish penyair besar Palestin yang dianggap sebagai Penyair Nasional Palestin yang sepanjang kehidupannya telah mengabdikan diri demi memperjuangkan keadilan di bumi kelahirannya. Merupakan satu lagi hujah kenapa tajuk ini amat sesuai dan tepat sekali.
Dalam antologi ini, penyusun telah memuatkan tiga kuntum sajak penyair besar Palestin, Allahyarham Mahmoud Darwish iaitu “Kad Pengenalan” yang dilakarkan dalam ruang epilog dan dua lagi dalam laman puisi yang berjudul “Untuk Tanah Air Kita” dan “Di Jerusalem”.
Tulis!
aku orang Arab
Merupakan ayat mencabar dan sinis yang diulang sebanyak empat kali dalam sajaknya “Kad Pengenalan” yang mengandungi tujuh rangkap itu. Secara tidak langsung menggambarkan kepada khalayak pembaca, bahawa betapa kecewa sipenyair terhadap layanan “double standard” dunia, terhadap penduduk Arab Palestin.
Meneliti sajak-sajak Mahmoud Dawish, beliau gemar menggunakan ayat yang diulang-ulang bagi menimbulkan kesan yang mendalam terhadap isu yang diperkatakan. Jika melalui sajak “Kad Pengenalan”, Pengulangan “Tulis! Aku orang Arab” dapat memberikan impak yang mendalam terhadap perasaan kekecewaannya terhadap dunia. Melalui sajak “Untuk Tanah Air Kita” pula, ayat “untuk Tanah Air kita” diulang sebanyak enam kali. Memberikan impak betapa sengsara rakyat Palestin, akibat perbuatan manusia dan dunia yang tidak berhati perut dan tiada berperikemanusiaan. Perhatikan bait-bait berikut:
Untuk Tanah Air kita,
dan ia jauh daripada tatabahasa nama
peta ketiadaan.
Untuk Tanah Air kita,
dan ianya kecil seperti sebiji bijan,
horizon syurga…dan jurang dalam tersembunyi.
Untuk Tanah Air kita,
dan ianya miskin seperti sayap burung
kitab-kitab suci……dan luka jatidiri.
Untuk Tanah Air kita,
dan ianya di kelilingi bukit berduri,
serang-hendap masa lalu yang baru.
Untuk Tanah Air kita,
dan ianya hadiah peperangan,
kebebasan untuk mati oleh kerinduan dan terbakar
dan Tanah Air kita, di malam berdarah
adalah permata berkilau untuk yang jauh dan terlalu
jauh
dan menyinari segala di luarnya ....
bagi kita di dalamnya,
semakin melemaskan!
Sama seperti Mahmoud Dawish, seorang lagi penyair terkenal keturunan Arab-Palestin juga gemar menggunakan kaedah pengulangan ayat, bagi memberikan impak yang berkesan terhadap isu yang hendak diperkatakan, perhatikan bait-bait sajak “Pergi Ke Laut, Cintaku” Moaen Shalabia di bawah:
Dan jika aku mampu
Akan kuubah semula dunia ini Supaya selamanya kita boleh menjadi atma yang bergurau senda
...
Dalam puisi yang mengandungi tujuh rangkap itu, ayat “Dan jika aku mampu”, diulang sebanyak enam kali. Memberikan impak betapa besarnya harapan penyair untuk manusia yang dicintainya dan mengalami nasib seperti negaranya Palestin. Empati beliau yang cukup mendalam dan mengerti kepada manusia yang berada dalam kesukaran dan terbuang dari negaranya jelas menunjukkan besarnya pengaruh dan dominasi zionis bukan saja di negaranya Palestin, tetapi juga di negara lain yang memberikan impak yang sama kepada manusia yang berani mencabar mereka. Apalagi, bila ada pemimpin politik sesuatu negara yang didokong dan disokong oleh zionis yang bercita-cita untuk menaikkannya sebagai pemimpin negara tersebut.
Moaen Shalabia dalam satu lagi sajaknya yang berjudul “Aku Tidak Mengenalinya Sebelum Ini” memaparkan betapa pilu dan sedih melihat mangsa keganasan dan ketidakadilan, diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kumpulan berjiwa syaitan, terhadap warga manusia di mana juga dan juga di Palestin. Perhatikan bait-bait menusuk kalbu seperti di bawah:
antara lapisan jiwanya,
ada cerita tembok, kejahatan, kesenyapan dan darah yang
kelihatan di horizon.
Dia tidak hidup dan tidak juga mati,
di tempat yang cukup ganas dan sunyi itu,
kuperhatikan dirinya tidak bersemangat dan tubuhnya
penuh luka,
dan dia keseorangan tanpa tanah air,
aku bercakap kepadanya tanpa berselindung,
....
Lalu kataku:
Datanglah kepada ku sebagai diri mu wahai wanitaku;
perempuan yang diperkosa, samalah seperti tanah air yang
diperkosa,
tiada beza di antara kedua mereka yang melakukannya;
mereka telah lama mati, tapi mereka muncul semula.
Sebagai tunjang utama dalam pembikinan antologi ini Siti Ruqaiyah Hashim bertanggungjawab, mengedit, menterjemah dan seterusnya menyusun sehingga lengkap menjadi sebuah antologi keamanan yang tulus ikhlas dan membanggakan. Tema keamanan yang digarap dalam antologi kali ini seperti yang diperkatakan terdahulu, adalah berfokuskan bumi Palestin, dan ia menjadi lebih berkesan apabila terdapat penyair kelahiran Palestin sendiri, turut sama terlibat dalam menjayakannya, kerana mereka adalah individu yang terlibat secara langsung dan merasai penderitaan secara terus, akibat ketidakadilan, kerakusan dan keganasan manusia.
Penyair kelahiran Palestin ketiga, yang terlibat yang juga tidak kurang hebatnya ialah Nazih Kassis. Melalui sajaknya yang berjudul “Timur Dan Barat”, penyair ini secara tidak langsung meluahkan kemualannya terhadap sikap manusia yang rakus, ganas, individualistik dan tidak berperikemanusian. Beliau melahirkan harapan yang menggunung agar semua manusia berbaik-baik, saling tolong menolong, bertoleransi dan bersimpati terhadap insan yang malang. Agar kenikmatan hidup di alam fana ini dapat dikecapi secara adil oleh semua manusia. Harapan beliau ini jelas dalam bait-bait di bawah:
Kepada Sandy Sue dan Steve
Adakah kalian suka aku percaya
Timur dan Barat boleh bertemu
Bila mereka makan bersama?
Makanannya SATU jenis yang sama
Roti dan garam dan ikan
Dan bila mereka gunakan SATU pinggan yang sama
Mereka tahu mereka menghadapi SATU nasib yang
sama
Puisi beliau yang kedua berbentuk seloka, yang diberi judul “Seloka Untuk Tanah Air Ku” amat hiba dan merindui keamanan untuk tanah airnya yang tercinta. Sila teliti dan hayati antara bait-bait seloka tersebut:
Aku merantau merata lautan tahun demi tahun
Bersama kubawa luka dan ketakutan
Dan indah wajahmu mengalirkan panas air mataku!
Aku merantau beribu batu
Untuk melihat wajahmu dengan senyum bercahaya
Dan mengalir dalam jiwaku setiap masa
Seperti Sungai Danube juga Sungai Nil!
Seramai 24 penyair hebat dunia telah terlibat menjayakan antologi ini, selain tiga orang kelahiran bumi Palestin, terdapat juga penyair kelahira Russia, dari negeri Balkan, Turki, Syria, China, Sepanyol, Somalia, Iraq, Australia, dan tidak ketinggalan juga Malaysia. Selain Siti Ruqaiyah Hashim, terdapat seorang lagi penyair Malaysia yang sama-sama menyumbangkan puisi, iaitu Puan Mahaya binti Mohd. Yassin. Dua kuntum puisi beliau dalam antologi ini berjudul “Yang Manis Dan Tulus” serta “Kepulangan” adalah bersifat peribadi dan mengajak diri untuk mensyukuri nikmat kehidupan kurniaan ilahi dan bersiap sedia menghadapi kematian bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi di alam yang lain.
Seorang penyair Malaysia yang tidak dikenali iaitu Jaa Jasril juga menyumbangkan dua kuntum puisi. Jaa Jasril merupakan penyair zaman baru yang aktif di internet dan mencipta nama di arena puisi orang muda antarabangsa. Beliau menulis dengan mempamerkan pengaruh puisi antarabangsa yang cukup kuat dari genre hip hop, Tupac Shakur dll yang tidak dikenali di Malaysia, tapi wujud dan mendominasi arena antarabangsa. Situasi yang sama seperti Mahmoud Darwish yang langsung tidak dikenali di Malaysia walaupun sudah berdekad Malaysia menyokong kuat Palestin dan tidak pernah berganjak daripadanya hingga kini. Siti Ruqaiyah Hashim mungkin mahu berkata sesuatu tentang pengaruh media yang didominasi oleh kepentingan perniagaan agaknya!
Kepelbagaian latar belakang penyair-penyair terlibat, secara tidak langsung dapat menambahkan kemantapan antologi keamanan ini, yang bersifat sejagat sekali gus menghantar mesej bahawa keamanan dan kedamaian adalah merupakan idaman setiap manusia kecuali yang tidak bertamadun dan berperikemanusiaan.
Sebagai pengulas, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf daripada penyair sekalian kerana tidak dapat menyentuh dan membicarakan setiap sajak yang terdapat dalam antologi ini secara terperinci. Namun sepintas lalu boleh saya katakan bahawa semua puisi adalah baik dan menepati sasaran bagi menyatakan protes dan saranan agar penduduk dunia bersifat sayang menyayangi sesama insan dan redha bahawa kita semua adalah hamba Tuhan Maha Pencipta berkongsi hidup di planet yang sama.
Kesimpulannya, rata-rata sajak-sajak yang dimuatkan dalam antologi ini tidak terlalu komplikated atau bombastik. Boleh dikatakan kebanyakannya mudah dimergerti dengan mesej keamanan dan keadilan sosial amat jelas. Memang itulah sepatutnya, agar khalayak atau pembaca akan mudah faham dan secara tidak langsung akan memercupkan simpati dan dapat mendidik manusia agar bersifat penyayang dan berkongsi kehidupan secara toleran di bumi yang fana ini, InsyaAllah.
Akhir kata, Tahniah! Diucapkan kepada semua yang terlibat menyumbangkan puisi, bagi kejayaan antologi keamanan ini, khususnya Puan Ruqaiyah Hashim yang telah bekerja keras, tanpa mengira wang ringgit dan tenaga dalam merialisasikan usaha yang mulia ini. Kalian adalah dalam kalangan yang telah berjaya memainkan peranan sebagai hamba Tuhan yang perihatin dan bertanggungjawab yang sanggup menegur ketidakadilan melalui kata-kata. Sebagai golongan kerdil yang tidak mempunyai kuasa, keberanian menegur melalui kata-kata adalah amat terpuji, selain tersentuh di dalam hati. Jika penduduk dunia berfikiran seperti kalian semua, saya pasti kita akan melihat keadilan akan tertegak dan kita semua akan hidup dalam tenang, aman dan harmoni InsyaAllah.
Sekian, “Selamat Membaca”.
NOTA: REVIU INI TELAH DITERBITKAN DALAM BEBERAPA MAJALAH DALAM TALIAN DI AMERIKA SYARIKAT DAN GHANA. IANYA TELAH DITERJEMAHKAN KE DALAM BAHASA INGGERIS OLEH JAA JASRIL.
Comments
Post a Comment