ONN ABDULLAH DENGAN PUISI-PUISI MUDAH DAN LUHURNYA.
ONN ABDULLAH
Onn Abdullah adalah nama pena Abdullah Hj. Mohd. Samsuddin. Dilahirkan di Kampung Gajah, Perak. Pendidikan sekolah Melayu dan Agama, Diploma Pentadbiran Awam (UiTM) Hasil karya telah tersiar di pelbagai media Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Harian, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Siasah, Harakah dan lain-lain.Beliau menerbitkan lima Kumpulan Puisi Persorangan: Muttaqin, Kasidah Nurani, Sebelum Belum, Deklarasi Tanah Cinta dan Kembali Membaca Diri. Penerima Anugerah Penyair Perak (2004), Tokoh Muda PENTAS ( 2005), Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke- 4 -2014 (Puisi eceran). Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri. Perak ( 2022 ) dan Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke -7 (2022)-Puisi eceran). Tahun 2003 menerima Anugerah Pingat Jaksa Kebaktian (PJK)Daripada DYMM Sultan Perak.
KEMBALI MEMBACA DIRI
Hentikan menghukum
dari sejari telunjukyang tegar
tiga batang jari menghala
membidas kepada diri
Kembali membaca diri
menilai hidup yang tersisa
pilih jalinan kasih terindah
warna ketenangan jiwa
Matamu jernih bercahaya
menatap segala kekurangan
sabar meredah kesulitan
merapat ke tebing hati
keinsafan diri
Dewan Sastera.
Januari, 2016
MEMILH DIAM
Kau pantas menunding jari
menghunus kata membius caci
gampang menjerit geram
melempar batu dendam
Angkuhnya kau mendabit dada
melepaskan amarah membabi buta
lazimnya kau enggan memetik iktibar
mengumpul amanat menjadi nasihat
merenung diri dari jendela tauladan
demi sebuah kedamaian.
Selingkar api dinyalakan
bisa memanaskan kehidupan.
jadikan diam penawar kemarahan
diam memadam bara kebencian
Mari memilih diam
dari membazirkan kata-kata
kata dendam seribu luka.
GRAHA Karya
30 Disember, 2019
CERITA AKAL BUDAK
Bukan apa-apa budak ini
sekadar mencairkan sedikit duka
pelik baginya tubuh rapuh jadi pagar
menentang nafsu puaka
dari secebis akal mulia jadi hina
sejambak budi relai dari tangkai jiwa
sempurnalah sebuah kisah sejarah
kecetekan akal seorang sultan
dan kedengkian pembesar istana
tercurah licin hasutan,
menitah sehebat anugerah
kebijaksanaan seorang Nadim
dengan hukuman bunuh!
Dewan Sastera,
April, 2006.
Comments
Post a Comment