GAZA! OH GAZA 2!! BY SITI RUQAIYAH HASHIM.
GAZA! OH GAZA 2!!
(Dialog Al Quds dengan M)
M,
Aku mencakar lagi
Menyalak lagi
Tak henti-henti
Dan tak akan berhenti
Sampai bila-bila
Semangat para syuhada
Menyerap ke jantungku agaknya
Alfatihah
Untuk mereka
Yang gugur di Khan Younis,Jabaliya,
Juga di Al Ahli dan Al Shifa,
Dll…..dll….dll
Kata Dr Mads
Berbelas tahun dia di Gaza
Dan Al Shifa menjadi rumah keduanya
Tak pernah
Sebutir peluru HAMAS pun
yang dikutipnya
Di koridor wad pembedahan
Atau wad bersalin
Atau wad kanak-kanak
Tiba-tiba tentera Zionis berkata
Al Shifa adalah pusat operasi HAMAS!
Keangkuhan Bibi sudah sampai ke puncaknya
Atau pintu penjara semakin hampir dengannya
Lalu dia mencipta berbagai naratif bohong
Seperti sahabatnya di sini
Yang menghambur kebohongan demi kebohongan
Bila membuka mulut hancingnya
Samada tentera muda itu buta,
Berhalusinasi
Atau ketakutan
Dan mereka nampak yang bukan-bukan
Kerana katanya
Mereka tidak melihat kelibat pejuang AL Qassam
Yang tiba-tiba berdiri di hadapan
Melepaskan tembakan dengan nyaring suara
Berteriak AllahuAkbar!
Tentera mudamu mungkin meracau kerana memerlukan ganja
Tapi kami percaya
Dia menutup mata hati mereka
Lantas mereka tidak melihat apa-apa
Dia mencampakkan ketakutan di hati mereka
Sewaktu para malaikat berpesta
Menyambut wangi kasturi para syuhada
M,
Aku tidak dapat tidur kebelakangan ini
Terbayang wajah anak-anak Gaza
Yang masih hidup
Ditarik keluar dari puing rumah mereka
Atau yang syahid
Memeluk leher ibunya yang pergi bersama
AlFatihah untuk para syuhada
Ada kalanya aku jadi mual
menonton AlJazeera, TRT dll
Yang selama ini kuhirup bersama aroma kopi dan sarapan pagi setiap hari
Dalam doa kumohon kepada Nya
Datangkan bantuan kepada saudara-saudara kita
Satukan hati-hati kita
Dan hentikan kegilaan mereka
M,
Ada waktunya aku kehabisan kata
Kebekuan rasa
Dan kehilangan deria
Melihat wajah-wajah kaku
Dalam bilik darjah
Di tepi puing rumah dan kedai
Di koridor rumah sakit Al Ahli
Di bawah runtuhan masjid, gereja dan entah apa
Aduhai!
Petaka apakah yang merasuk mereka?
Hingga hilang rasa dan air mata seorang manusia
Hilang kompas moral seorang orang
Dan keangkuhan yang tidak berpenghujung
AlFatihah untuk beribu para syuhada
Dan celakalah mereka yang angkuh tidak bertepi
Den Hague menunggumu Bibi
Dan engkau tak lebih dari seorang psikopath
Dalam liga yang sama
Seperti Caligula dan Nero!
Damansara Perdana
Oktober 2023.
Comments
Post a Comment